16 April 2010

Peristiwa "al-ifki" memberi ibroh

Masih ada lagi dikalangan ummat Islam akhir zaman ini yang masih melupakan peristiwa penting sejarah ummat Islam, kenapa terjadi punca yang amat longgar tautan hati terhadap Sirah Nabawiyyah.

Marilah sejenak menggamit sejarah silam mengenai Siti Aishah Radhiallahu Anha, bukankah ia menjadi iktibar buat para Muslimah arini.[Muslimah Pembangun Ummah], ramai sungguh yang namanya Aishah namun di ambil kisah hanyalah pada Isteri kesayangan Rasulullahu sollallahu alaihi Wassalam yang kemerah-merahan itu, biarpun kisah pedoman boleh di ambil ibroh, marilah jadikan iktibar dari "kisah al-ifki" ini, Na'am bagi mereka(golongan perempuan wajib mengambil tahu), 

Apakah salahnya sesekali si ummi menceritakan kisah ini pada si puteri kecil ketika sedang sibuk memasak, apakah salahnya si naqibah mengimbas kembali kisah perjuangan gelaran Humaira' pada anak usrahnya, na'am semua mesti cakna serta peduli, syabab@lelaki lagi-lagilah memerlukan tasawuur@gambaran jelas kisah Muslimah sejati ini, Rasulullahu Sollallahu Alaihi Wassalam diberi tekanan dalam khabar al-ifki@khabar fitnah ini, sehingga wahyu yang lewat penurunannya memberi kesan pada jasad nabi, sekaligus memberitahu inilah mehnah orang berjuang penuh keyakinan.[supaya gelisah bernilai ibadah].

Saidatina Aishah Radhiallahu Anha berumur 7 tahun sudah diniqahi oleh Rasulullahu Sollallahu Alaihi Wassalam, TEPAT 9 tahun dibawa Saidatina Aishah ini ke Madinah Al-Munawarah(yathrib) sebagai seorang isteri yang masih muda masih bersama mainan kecilnya, dan sehinggalah usia 18 tahun, ketika itu Rasulullahu Sollallahu alaihi Wassalam wafat[riwayat imam bukhari dan muslim:3327].

Sepanjang itulah pegorbanan matang seorang isteri yang wala' dan taat pada suaminya yang menjadi kekasih Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maka namanya jugalah terpahat dalam Ahli Bait yang dijamin syurga oleh Allah Swt, malah menjadi rujukan hadis nabi yang shohih untuk di fahami lantas dihayati, mudah-mudahan dengan kisah pengetahuan cetek ini langsung kita diberi ibroh yang mendalam khas buat-mu[Mujahidah fi sabilillah].

SATU peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam ialah peperangan Bani al-Mustaliq. Peristiwa itu berlaku pada Isnin, hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pada waktu itu, Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.

Dalam riwayat Imam Muslim, dijelaskan serangan terhadap Bani al-Mustaliq dibuat tanpa amaran. Perkara itu kerana Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam, sudah menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Bani Mustaliq itu dianggap berperang dengan orang Islam sejak membantu orang Quraisy Makkah dalam peperangan Uhud.

Mereka yang diserang secara mengejut, kebingungan dan tidak mampu melawan dalam tempoh masa yang agak lama, dan peperangan ini dinamakan juga"Al-Muraisi"kerana tentera pimpinan Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam bersemuka dengan bani mustaliq di telaga al-muraisi. Daripada peperangan ini, dicatatkan rampasan perang yang diperoleh ialah 1,000 unta dan 5,000 biri-biri. Kira-kira 200 orang ditawan dan ada pendapat yang menyatakan 700 orang.

Rasulullahu sollallahu alaihi wasslam dan sahabat kemudian pulang ke Madinah pada Ramadan selepas peperangan itu. Dalam perjalanan pulang inilah, berlaku peristiwa yang menggoncang kerukunan rumah tangga Baginda berpunca daripada tindakan jahat yang dilakukan oleh golongan munafik pimpinan Abdullah Bin Ubai.

Isteri Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam, iaitu Saidatina Aisyah, difitnah curang terhadap Baginda. Ini adalah peperangan psikologi yang begitu hebat melalui hasutan dan fitnah peristiwa "al-ifki" yang dipalsu dan diselewengkan oleh orang munafik.

Aisyah bersama Rasulullahu sollallahu alahi wassalam dan tentera Islam menyertai peperangan Bani al-Mustaliq. Setiap kali Rasulullahu sollallahu alahi wassalam keluar berperang, Baginda akan mengundi siapakah di kalangan isteri Baginda yang menyertai peperangan itu. Ketika itu, undian berpihak kepada Aisyah.

Dalam perjalanan pulang, ketika orang Islam semakin hampir dengan Madinah, tentera Islam singgah di kawasan perhentian. Pada kesempatan itu, Aisyah keluar untuk beristinjak dan tanpa disedari anting-antingnya jatuh ketika menuju kawasan perkhemahan. Beliau menyedari kehilangan anting-antingnya itu dan kembali ke tempat beliau beristinjak untuk mencarinya. Selepas menjumpainya, beliau pulang semula ke tapak perkhemahan dan alangkah terkejutnya Aisyah kerana ketika itu, tentera Islam sudah meninggalkan tempat itu dan meneruskan perjalanan pulang ke Madinah.

Tinggallah beliau di tengah padang pasir sambil mengharapkan kafilah orang Islam berpatah balik mencarinya. Selepas tentera Islam menyedari ketiadaan Aisyah, mereka berpatah semula untuk mendapatkannya. Pada masa sama, Aisyah ditemui sahabat Rasulullahu sollalllahu alaihi wassalam bernama Safwan al-Mu'attal yang juga ketinggalan. Ada riwayat lain menyatakan beliau tertidur.

Safwan dan Aisyah memasuki kawasan Madinah pada waktu siang hari, selepas Baginda dan tentera Islam memasuki kota Madinah. Kedatangan kedua-duanya ke Madinah diperhatikan oleh penduduk kota itu, antaranya golongan munafik yang dipimpin Abdullah bin Ubai bin Salul.

Dia mengambil kesempatan itu untuk menyebarkan fitnah bahawa Aisyah berlaku curang dengan Safwan. Abdullah Ubai juga mendorong Mistan Ibn Athathah, Hassan Ibn Thabit dan Hammah Jahsh untuk mempercayainya. Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam duka cita dengan propaganda yang dilakukan orang munafik. Dalam masjid, Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam mengisytiharkan Baginda mempercayai isteri dan sahabatnya.

Peristiwa ini memberi kesan mendalam ke atas diri dan keluarga Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam kerana ada sahabat yang terpengaruh dengan fitnah yang tersebar luas di kota Madinah. Bahkan ada sahabat yang mencadangkan Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam menceraikan Aisyah. Selepas itu Aisyah sakit dan meminta izin Rasulullahi sollallahu alaihi wassalam untuk pulang ke rumah ayahandanya, Saidina Abu Bakar dan diizinkan Baginda.

Aisyah berdoa semoga Allah memberitahu rasul-Nya beliau masih suci dan tidak bersalah.
Wahyu tidak turun selama sebulan dan keadaan itu menyebabkan Baginda tidak dapat membuat sebarang keputusan atau fatwa.

Kesempatan itu diambil oleh golongan munafik untuk mencemarkan maruah dan menyakiti hati Baginda dengan pelbagai perkataan. Pada saat itu, Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam berharap turunnya wahyu bagi menenangkan hati dan menghentikan tohmahan orang munafik serta mempertahankan kesucian isteri dan keluarga Baginda. Selepas menunggu hampir sebulan, akhirnya Allah menurunkan wahyu melalui firman-Nya dalam [Surah an-Nur ayat 11 hingga 20bagi menyatakan Aisyah tidak bersalah.

Rasulullahu solllahu alaihi wassalam menjatuhkan hukuman hudud kepada Mistah, Hassan dan Hammah kerana fitnah yang dilakukan mereka. Namun, Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada Abdullah bin Ubai kerana Allah akan tetap menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepadanya di akhirat.

Daripada peristiwa peperangan Bani al-Mustaliq dan peristiwa itu, beberapa undang-undang digubal, antaranya:

-Kebenaran menyerang tanpa memberi amaran seperti yang dilakukan kepada Bani al-Mustaliq yang sudah disampaikan dakwah kepada mereka.

-Jika ada yang belum menerima ajaran Islam, seseorang wajib didakwahkan dan dipelawa menganut serta menerima dakwah Islam sebelum memerangi mereka.

-Kebenaran membuat undian antara isteri untuk seseorang bermusafir seperti undian yang dijalankan Rasulullahu sollallahu alahi wassalam.

-Wanita turut dibenarkan terbabit dalam kempen ketenteraan bagi membantu tentera Islam, tetapi bukan sebagai anggota tentera peperangan.

-Pelaksanaan [hukuman hudud] kepada sesiapa yang melakukan fitnah tanpa mengemukakan empat orang saksi.

-Kebenaran menawan musuh sebagai tawanan perang. Peristiwa al-ifki jelas menunjukkan sifat kemanusiaan Rasulullahu sollallahu alaihi wassalam walaupun berdepan dengan saat memilukan dan menyedihkan.

-Pergantungan Baginda kepada Allah dan wahyu-Nya tetap utuh. Sesuatu tindakan tidak dilakukan secara melulu hingga Baginda merujuk kepada wahyu Allah.

Inilah yang sepatutnya yang dijadikan pengajaran kepada orang Islam yang berjuang, dengan matlamat tinggi melihat syiar islam, supaya sentiasa menjadikan wahyu Allah sebagai rujukan terhadap sebarang permasalahan yang melanda dalam kehidupan..[supaya gelisah bernilai ibadah].

Rasulullahu Sollallahu alaihi wassalam bersabda yang bermaksud, “Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” [Riwayat Ibnun Najjar melalui Anas Radhiallahu Anha].

0 komenan:

Related Posts with Thumbnails

 
Copyright 2012 @ Menulis satu Ibadah™!
Design by Myfirdaus | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Usah jemu berjuang