Memaparkan catatan dengan label Nota: Tahun Baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nota: Tahun Baru. Papar semua catatan

01 Januari 2012

Nota Tahun Baru: Teman mulai dengan Nasihat Imam Hassan Al-Banna.

2 komenan

















Gambar hiasan, satu bangunan di depan rumah saya, yang wajib didatangi setiap kali masuk waktu sembahyang..Allahurabbi, kedatangan tahun baru..kuatkan saya..

Muqaddimah.


Beberapa teman-teman telah mengajak saya mengingati kembali nasihat Imam Hassan Al-Banna, dan ini membuatkan kita boleh muhasabah untuk mulai Tahun Baru 2012.

Muhasabah supaya kita kuat untuk terus memanifestasikan disiplin ilmu, lagi pula saya juga penuntut ilmu yang dahagakan sentiasa ilmu. Ingat seiringkan semangat menuntut ilmu dan perjuangan iya! Penting untuk tahun baru 2012.


Nasihat Ulama' itu ialah:


Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, marilah kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya :



❀ Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan kita. Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.


❀ Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kata pepatah, sikit sikit lama-lama jadi bukit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.

❀ Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.
Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!

❀ Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!

❀ Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah SAW adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya. Bagaimanapun, dalam apa-apa urusan, berpada-pada sahajalah. Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing. Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!

❀ Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

❀ Kawal nada suara setakat yang diperlukan oleh pendengar di hadapan kita. Janganlah jadi seperti orang bodoh, bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

❀ Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan orang atau pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.

Sukakah kita makan daging? Pasti kita suka! Tapi sukakah kita memakan daging kawan kita yang sudah mati? Sekali-kali tentu jawapannya TiDAK! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah segera, jika kita mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang yang kita umpatkan itu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

❀ Luaskanlah interaksi dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.

❀ Maksimumkan faedah waktu kita dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu kita yang masih tersisa. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa orang lain, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.

Selamat Tahun Baru teman, selamat berjuang teman.

Firdaus Suhaimi.
Dar Saqifah Bani Saidah, Mu'tah Jordan.

31 Disember 2011

Nota Tahun Baru: Semangatlah berjuang seperti Abu Ayyub Al-Ansari.

2 komenan
Muqaddimah.


Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran(bermaksud), "Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan..." [Surah Al-Baqarah:195].


Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad...

Sebelum tahun baru 2012, saya menyelongkar semula fail picture lama, melihat kalau-kalau ada gambar lalu pengalaman ziarah ke maqam Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Alhamdulillah, akhirnya saya ketemu.

Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang me­nyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumah­nya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. 

Inilah kemuliaan terbesar dalam lipatan sejarah kehidupannya, sehingga Ulama' Sirah sering mengambil hikmah dan ibrah(pengajaran) dalam penceritaan.


Kalau sebut nama sebenarnya masih kurang dikenali, pabila panggilan Abu Ayyub Al-Ansari, nescaya kita semua ingat!


Usah berhenti dalam perjuangan panjang.

Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Ta'ala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".

Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Ta'ala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Konstantinople (di Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai.

Ada dikalangan orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan"?
Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, iaitulah Abu Ayub Al Ansari R.A, Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.



Apabila Abu Ayub Al Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Ta'ala, iaitu ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agamaNya. Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain. 

Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah S.A.W bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad)".

Tambah mereka "Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula".

"Justeru, Allah Ta'ala menurunkan ayat ini kepada Nabi-Nya sebagai menolak apa yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".

Abu Ayub Al-Ansari R.A adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau telah mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota konstantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. 

Kini Abu Ayyub Al-Ansari Radhiallahu Anhu, boleh diziarahi di Turki. Beliau 
dimaqamkan di sebuah Masjid setelah Sultan Muhammad menakluk Konstantinople.

Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang bakal meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh. Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.


Motto kehidupan Abu Ayyub Al-Ansari Radhiallahu Anhu: Infiruu khifafan wa thiqalan..










Bersama teman-teman di hadapan Aya Sophia Tahun 2010, moga Ia menjadi masjid yang dilindungi Allah Ta'ala, Allahumma amin..

Selain mengetahui kehidupan Abu Ayyub Al-ansari R.A yang mulia, ada satu lagi motivasi hebat yang kita boleh pelajari dari kisah kehidupan Abu Ayyub al-Ansari R.A ini. Anak muda wajar tercabar dengan kisah ini. Bagi orang tua pula, jangan pernah berhenti dalam perjuangan!


Abu Ayyub Al-Anshari R.A yang terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:

“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”  (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)

Tahukah anda bahawa Abu Ayyub Al-Ansari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berpotensi besar dalam perjuangan Islam!


Inilah rahsia Abu Ayyub Al-Ansari R.A, antara sifat kelebihan pada diri sahabat-sahabat Nabi SAW yang begitu ingat perkara-perkara yang membangkitkan semangat juang mereka dan janji-janji Allah dan Rasul-Nya, Allahurabbi hebatnya Abu Ayyub..


Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41)

Sungguh teman-teman, sekiranya kita mampu menjadikan “Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah…” sebagai motto hidup, pasti hidup akan bahagia. Musibah yang menimpa terasa nikmat dan tenang kerana ia adalah ujian dari Allah SWT buat hambaNya. Mehnah yang tiba dihadapi dengan redha dan sabar. Tribulasi yang melanda disungguhi dengan keyakinan. Musibah, mehnah dan tribulasi bukan alasan untuk kita berhenti berjuang.

Malah kita akan sentiasa berjuang sama ada susah mahupun senang demi redha Allah sehinggalah kita beroleh kemenangan atau syahid di jalanNya. Inilah motto hidup terunggul melengkapi kalimah ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!

Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es-Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini.

Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.



Semoga datangnya Tahun baru tidak melunturkan semangat kita teman. 



Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub Al-Ansari R.A, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain. Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Ta'ala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janjiNya. 

Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. Firman-Nya yang bermaksud, 

"Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik" [Al-Baqarah:195]. 

Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah Taala dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik.


______________________________
Nota Tahun Baru 2012.

(1)Semoga kebanjiran program dakwah di Malam Tahun Baru, menenggelamkan maksiat saban tahun yang dijalankan oleh pemuka-pemuka maksiat, dengan itu kerja dakwah mesti dipikul oleh generasi ghuraba' ini.
(2)Teman-teman, kuatkan azzam di mana posisi kita berada, kekalkan momentum dakwah jama'ei ini.
(3)Mohon doa teman-teman, agar kami penuntut ilmu tidak lari dari landasan disiplin dengan ilmu yang dipelajari.
(4)Sumber inspirasi-LamanTarbawi
(4)Merindui Tanah Air, ia semakin mampir..
(5)Juga merindui konya, urfah, intanbul, burdan, sultan mehmed, abu eyyub dan rumelli hessarri, cami sultan abd. hamid II, dan lainnya. Semoga Allah melindungi bumi ottoman itu.

Related Posts with Thumbnails

 
Copyright 2012 @ Menulis satu Ibadah™!
Design by Myfirdaus | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Usah jemu berjuang