26 Ogos 2011

Malam Al-qadar yang ditunggu alim Ulama' Mufassirin.

Menaqal apa yang ditulis oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk malam yang barakah itu..(ini).


Pertama: Tafsiran Surah al-Qadr

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

Ibn Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:

§  Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri.

§  Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.

§  Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

§  Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.

§  Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.

Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik di kalangan seluruh manusia.

Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik dari seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.

Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun.

Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-Nya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar yang gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.

Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.

 Firman Allah SWT yang bermaksud: Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu ada juga pendapat yang menyatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi.

Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:

§  Jibril. Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.

§  Malaikat Hafazah. Inilah pendapat Abi Nujaih.

§  Malaikat-malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT. Inilah pendapat Muqatil.

§  Mereka adalah tentera Allah bukan di kalangan malaikat. Inilah yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas.

Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang menagndungi kebaikan kepada mereka.

Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.

Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam. Pada malam itu, turunnya al-Quran. Malam ini juga merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.

Kedua: Waktu atau Bilakah Berlakunya Lailatul Qadar?

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.

Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh akhir bulan bulan Ramadhan dalam malam ganjil.
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatul Qadar ada banyak pendapat, antaranya:

ý  Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:

§  Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan, manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.

§  Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27.

§  Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.

§  Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatul Qadar pada malam yang ke-27.

ý  Pada malam 23 Ramadhan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadhan.”

ý  Pada malam 21 Ramadhan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie. Dia berdalilkan pada hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tuntutlah malam 17, 21 dan 23 Ramadhan.”

ý  Pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan.”
Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi

ý  Pada malam akhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadhan.”
Riwayat Ibn Nasr

Ketiga: Rahsia Menyembunyikan Lailatul Qadar

Antara rahsia menyembunyikan Lailatul Qadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatul Qadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatul Qadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatul Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

Dipetik dari karya terbaru Dr.Zulkifli bin Mohamad al-Bakri "Ramadhan: Pelbagai hukum dan fatwa puasa"


Rindu bau Makkah Al-Mukarramah...mudah2an ibrah umrah bulan puasa ini
menjadi saksi untuk saya persembahkan di depan Allah nanti..Allahu Allah.

_________________________________
Nota Lailatul qodar yang memberi kekuatan.
(1) Subhanallah, Alhamdulilah, Allahuakbar....pagi jumaat yang barakah dan membawa rahmah, saya mencari ruangan untuk menghadapi malam ke 27 yang paling banyak dijangkakan Ulama' mufassirin sebagi lail-alqadar...
(2) Saya sangat bersyukur diberi kekuatan waiima hotel yang diduduki sekitar sejauh 3 Kilometer yang memenatkan, tambahan di bulan puasa yang bertemankan 45-50 darjah celcius yang mencairkan otak..namun saya dan teman2 medan syam ini tabah dan tenang dalam beribadah..
(3) Wahai Allah...kuatkan keyakinan kami, jangan lepaskan puasa yang barakah dengan begitu sahaja, kami mahu tunjuk patuh pada segala arahan suruhanMu tanpa rasa syak dn keterpaksaan...di Masjidil Haram yang mulia ini kami tunjuk beribadah dan berdoa padaMu...terimalah keampunan kami dan doa-doa kami..Allahumma aminn
(4) sayu dengan hebatnya Masjidil Haram yang menghimpunkan 4 Juta manusia dalam satu2 masa seumpama saya menunaikan haji dahulu...Subhanallah, Alhamdulillah, Allahukakhbar..
(5) semoga takbir raya kita nanti takbir kemenangan..!

Muhammad Firdaus Suhaimi
Makkah Al-Mukarramah
26 ramadhan 1432 Hijriah.

1 komenan:

atuk berkata...

Assalamualaikum Suhaimi

terima kasih atas perkongsian bersama

‘TAQABBALALLAH MINNA WAMINKUM’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)

Wassalam

Related Posts with Thumbnails

 
Copyright 2012 @ Menulis satu Ibadah™!
Design by Myfirdaus | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Usah jemu berjuang