21 Ogos 2011

Feqh Badar Al-Kubro by Ustaz Anhar Opir Phd Amman.

Peristiwa Badar Al-Kubro 313 ini takkan lekang di Jiwa para pemuda
Islam medan ini. Semoga kita mengambil ibrah yang besar.


TADABBUR FEQH BADAR AL-KUBRA

1. Selain peperangan Badar al-Kubra adalah yang pertama dalam Islam, ia sangat penting untuk dikaji adalah kerana ia berlaku dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah, tanggal 17 haribulan dalam kebanyakan riwayat. Iaitu ketika umat Islam sedang berpuasa, namun mereka berjihad di jalan Allah SWT. Peperangan ini juga disifatkan oleh Allah Azza wa Jalla sebagai al-furqan iaitu pembeza. Dengan peperangan inilah terbeza dan terpisahnya di antara kebenaran dan kebatilan.

2. Mereka yang terlibat dengan peperangan Badar ini pula mendapat kedudukan yang cukup istimewa dalam Islam. Dengan pengorbanan yang mereka tunjukkan, Islam menjadi mulia dan tidak dipandang rendah oleh Musyrikin Mekah. Kesemua tentera Badar ini juga mendapat keampunan daripada Allah Azza wa Jalla sebagai satu kemuliaan.

Pernah ketika Umar al-Khattab RA bercadang untuk membunuh Hatib bin Abi Balta’ah sebagai hukuman kerana telah membocorkan rahsia perancangan nabi SAW ketika peristiwa Fathu Mekah, sedangkan Hatib adalah tentera Badar, maka Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

"Sesungguhnya dia turut serta dalam peperangan Badar. Dan engkau tidak mengatahuinya, boleh jadi Allah telah mengenalpasti setiap seorang daripada tentera Badar, lalu Dia berfirman: Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu semua". (Riwayat al-Bukhari)


3. Peperangan Badar al-Kubra ini sangat istimewa sehingga mereka yang telah menyertainya juga telah mendapat kedudukan yang istimewa. Oleh itu, memahami dan meneliti peristiwa besar ini sangat penting untuk diambil pengajaran dan pedoman yang sewajarnya:
Kehendak Allah SWT mengatasi kehendak manusia

4. Tujuan asal umat Islam keluar pada waktu itu adalah untuk meyekat rombongan perdagangan yang diketuai oleh Abu Sufian Bin al-Harb. Oleh kerana bukan untuk berperang maka persediaan mereka adalah minimum, dan mereka tidak memerlukan kelengkapan senjata yang secukupnya, kerana hanya dengan sekali atau dua kali serangan yang ringan, mereka mampu untuk meyekat dan menguasai rombongan perdagangan tersebut yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam ke Mekah. 

Namun Allah SWT menghendaki yang lain daripada kehendak asal mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 7 bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua kumpulan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedangkan kamu suka kiranya (rombongan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan persenjataan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Sedangkan Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya".

5. Selepas mendapat wahyu, nabi SAW pun berbincang dan memerintahkan para sahabat untuk berhadapan dengan pasukan tentera musyrikin yang dihantar dari Mekah untuk menyelamatkan rombongan dagangan mereka. Inilah kehendak Allah Azza wa Jalla yang pasti berlaku. Kehendak dan cita-cita manusia adalah terbatas, kerana ia boleh jadi berlaku atau tidak, semuanya dengan izin Allah SWT, namun kehendak Allah Azza wa Jalla pasti berlaku dan tiada siapa yang dapat menghalang. FirmanNya dalam surah al-Buruj ayat 12-16:

"Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati). Dan Dia lah yang maha pengampun, lagi maha pengasih. Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya. Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakiNya".


Kekuatan sebenar iman

6. Jika hendak dibandingkan dengan kekuatan angka kuantitattif, tentera Islam hanya berjumlah 315 berbanding tentera Musyrikin yang berjumlah 950 orang iaitu dengan nisbah 1:3. Jika diukur dari aspek kelengkapan persenjataan, tentera Islam juga tidaklah sekuat Musyrikin yang memiliki 200 tentera berkuda berbanding 2 tentera berkuda sahaja di pihak Islam. 

Namun tentera Islam berperang adalah kerana taat akan perintah Allah SWT dan RasulNya, untuk mempertahankan akidah dan agama Islam. Al-Qur’an menyifatkan mereka dengan ‘adzillah’ yang bermaksud lemah dan sedikit, sebagaimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 123:

"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan kelengkapan perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)".


7. Namun, umat Islam mempunyai kekuatan kualitatif, dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Allah Azza wa Jalla terhadap mereka, yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Jika mereka tidak yakin dan beriman dengan nabi SAW, tidak mungkin mereka akan percaya terhadap kata-katanya. Mereka cukup yakin dengan janji Allah SWT, kemengan ini merupakan anugerah Allah SWT yang tidak boleh dicapai dengan kekuatan angka semata-mata, firmanNya dalam surah al-Anfal ayat 17:

"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui".


8. Kemenangan tersebut adalah daripada Allah Azza wa Jalla. Kita hanya berusaha dan berikhtiar dalam sesuatu perkara. Maka silap lah kita, jika kita mendakwa bahawa sebarang kemenangan dan kejayaan yang kita kecapi adalah kerana faktor sebab musabab semata-mata, sedangkan ia adalah asbab, lalu Allah SWT mengizinkan dan memberikan kemenangan apabila mencukupi syarat-syaratnya. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 10:

"Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah maha berkuasa, lagi maha bijaksana".


9. Demikianlah kekuatan iman yang tidak mampu digoyahkan. Kemuncaknya tentera Islam diberikan kemenangan oleh Allah SWT. Seorang panglima tentera dan ketua pasukan yang yakin dengan janji Allah juga mampu menggerakkan pasukannya dengan kata-katanya, sebagaimana yang telah nabi SAW ucapkan kepada tentera Islam Badar sebelum peperangan, sabdanya sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud:

Berita gembira untuk kamu semua. Demi Allah, seolah-olah aku melihat mereka tewas. (Riwayat al-Bukhari) 

Senjata doa

10. Dalam peperangan ini, nabi SAW dan tentera Islam tidak putus berdoa dan merayu kepada Allah Azza wa Jalla agar diberikan kemenangan supaya terzahir kebenaran. Suasana yang cukup genting sebelum meletusnya peperangan dapat kita bayangkan kerana mereka dalam keadaan serba kekurangan. Tentera Islam bukan berdoa biasa, tetapi Allah SWT menyifatkan doa mereka dengan perkataan ‘ighathah’ yang bererti merayu memohon bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 9:

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) malaikat yang datang berturut-turut".


11. Bahkan dalam ayat yang lain, dengan sebab kesabaran dan ketakwaan tentera Islam, Allah SWT memperkenankan permohonan doa mereka dengan menambahkan lagi pasukan tentera Malaikat yang lebih ramai jumlahnya. FirmanNya dalam surah Ali Imran ayat 124-125:

"(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera daripada malaikat yang diturunkan?. Bahkan jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing".


12. Demikianlah beberapa kefahaman yang kita dapati daripada peristiwa Badar al-Kubra yang sangat istimewa. Roh kemenangannya perlu kita rasai, agar kita mampu menyusun amal dan tidakan dengan bekalan kekuatan akidah. Kita perlu yakin dengan janji Allah dan segala anugerahNya dalam bulan Ramadhan ini. 

Kita perlu bertukar daripada mendahulukan kuantiti kepada mengutamakan kualiti. Biarlah dalam banyak hal kita fokuskan kualiti ikhlas dan itqan dalam setiap amalan yang kita kerjakan. Tadarus al-Qur’an, solat terawih, bersedekah, memberi iftar kepada orang berpuasa dan sebagainya sangat menggamit keikhlasan yang tulus semata-mata kerana Allah Azza wa Jalla. Semoga doa yang kita panjatkan juga berkualiti agar berjaya mengetuk pintu al-Rahman.

13. Kesimpulannya, memahami peristiwa Badar al-Kubra memerlukan tadabbur, dengan sedikit penelitian dan muhasabah, untuk pedoman hdup kita yang sentiasa memerlukan bimbingan al-Qur’an.



Nota Akhir Romadon.
________________________________________

(1) Saya terasa teramat sedih meninggalkan ramadhan penuh barakah ini, adakah ini puasa terakhir dalam kehidupan ini? Ya Allah temukan kami di Ramadhan mendatang, 
(2) Kehidupan ini mesti diadaptasi dalam Feqh badar Al-Kubro yang kita hadami saat ini.
(3) Mudah2an permergian saya dan teman-teman ke Haramain kali ini betul2 diiringi semangat berghazwah di medan badar, pasukan Islam ditaklifkan berpuasa kali yang pertama dalam waktu yang sama mereka disyariatkan berperang di Jalan Allah. Subhanallah.
(4) Jomm teman2 cari kekuatan luar biasa itu iya.
(5) siruu ala barakatillah.





0 komenan:

Related Posts with Thumbnails

 
Copyright 2012 @ Menulis satu Ibadah™!
Design by Myfirdaus | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Usah jemu berjuang